Penyediaan Makanan Cara Sihat

APA yang kita makan perlulah daripada sesuatu yang baik. Bukan hanya untuk selera dan cita rasa tetapi juga untuk kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh memudaratkan dalam makanan yang kita ambil antaranya kandungan tinggi gula, lemak serta juga kolesterol.

Tetapi adakah kita peka tentang proses dalam penyediaan makanan? Adakah kita perlu tahu secara terperinci proses itu sebelum memilih apa yang perlu untuk dimakan?

Dan jawapannya adalah “Ya” kerana apa yang kita makan akan mempunyai kesan buruk atau baik terhadap kesihatan dan sistem badan.

Kebanyakan makanan yang telah diproses sudah tentu ditambah ‘perisa’ dan ‘perasa’ selain daripada bahan untuk mengekalkan ketahanannya.

Penyakit Akut, Kronik

Terdapat pelbagai penyakit serius yang berlaku di dunia kini dengan kadar yang begitu menakutkan. Ia dikatakan disebabkan pemakanan lemak yang tidak sihat selain penggunaan minyak masak yang telah ditapis dan diguna semula yang begitu mudah didapati pada masa kini.

“Asid lemak memang perlu dalam diet individu, tetapi ia harus bebas daripada bahan kimia dan campuran. Asid lemak perlu wujud dalam bentuk asal supaya ia tidak kehilangan nilai untuk kesihatan,” demikian menurut Udo Erasmus, satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang kesihatan pemakanan.

Udo yang merupakan saintis dan pensyarah berasal dari Jerman dikenali sebagai ‘Bapa Minyak Flaks’. Beliau ditemui di Kongres Ultimate Life and True Health yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, makanan yang diproses dengan mengambil kira aspek kesihatan akan membawa kebaikan terhadap sesiapa yang memakannya.

“Pengambilan makanan diproses yang mungkin mempunyai molekul toksik boleh menyebabkan terjadinya penyakit kronik yang boleh mengganggu kesejahteraan hidup.

“Makanan diproses akan hilang khasiat mineral dan ini boleh mengakibatkan sistem badan jadi tidak seimbang dan terdedah kepada ancaman penyakit,” kata Udo.

Udo telah menghasilkan produk Udo’s Oil 3.6.9 Blend daripada bahan seperti minyak biji flaks, bijan dan bunga matahari selain daripada enam bahan lemak yang dicampur bagi menghasilkan kandungan dua kali ganda asid lemak.

Jangan Goreng Dalam Minyak?

Nasihat Udo ialah makanan jangan digoreng dengan minyak.

“Minyak yang baik memberikan 40 hingga 60 peratus lebih tenaga. Anda mesti tahu cara menggunakan minyak dengan baik agar ia tidak mendatangkan kemudaratan.

“Menggoreng bahan karbohidrat, protein dan minyak boleh menyebabkan pertumbuhan sel kanser,” kata beliau.

Badan manusia memerlukan Omega 3 dan 6. Ini merupakan asid lemak yang tidak dikeluarkan badan tetapi terkandung dalam makanan.

Kehilangan Khasiat

Makanan yang telah diproses kehilangan khasiat serta mineral semula jadi selain daripada timbul kewujudan molekul toksik, katanya.

Udo menasihati warga pengguna supaya mengambil minyak yang asli dan tidak menggunakan yang telah diproses. Beliau percaya penyebab utama penyakit bahaya masa kini ialah pemakanan minyak yang telah bertapis.

Kedua-dua Omega 3 dan 6 adalah penting dalam kadar yang betul bagi setiap insan di dunia ini. Kurangnya kandungan Omega 3 dalam badan boleh menyebabkan ‘kelembapan’ dalam tindakan hormon badan.

“Ini boleh menyebabkan individu itu mengalami kemurungan,” kata Udo.

Biji flaks mengandungi protein berkualiti tinggi dan ia merupakan sumber terbaik bagi Omega 3 selain daripada menjadi sumber yang tinggi untuk Omega 6.

Biji flaks juga kaya dengan sarat boleh larut dan gandingannya dengan minyak boleh menjadikan bahan itu sebagai satu ‘laksatif’ yang cukup baik.

Kajian yang dilakukan Udo dalam dua dekad yang lampau menyaksikan beliau mengeluarkan minyak yang kaya dengan asid lemak Omega 3, Omega 6 dan Omega 9.

“Saya gunakan biji flaks dan bahan tumbuhan organik yang lain. Melalui teknik ciptaan saya, minyak ini tidak akan kehilangan asid lemak dan khasiatnya yang asli.

“Minyak ini mempunyai banyak kebaikan antaranya stamina dan kecerdasan mental yang lebih baik selain daripada koordinasi motor dan sistem imun yang lebih efisien,” tambah Udo.

Golongan wanita dinasihatkan melihat semula kandungan asid lemak yang mereka ambil kerana pertambahan kandungan ini boleh mengukuhkan kuasa memori mereka.

“Dengan mengambil lebih Omega 3 dan 6, wanita boleh memperbaiki IQ mereka antara 3 hingga 6 mata. Sememangnya ini membantu perkembangan otak,” kata Udo.

Selain daripada ikan salmon, sumber yang kaya dengan asid lemak Omega 3 adalah kacang walnut. Hanya dua sudu besar minyak Udo memberi persamaan 14 gram Omega 3 dan 6, lebih daripada apa yang disyorkan di Amerika Syarikat dan Kanada,” katanya.

Produk Semula Jadi

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr. Omar Jantan bersetuju dengan apa yang disarankan dan dinyatakan oleh Udo.

Kata Dr. Omar, bahan semula jadi tidak boleh sewenang-wenangnya dicampurkan bahan seperti steroid kerana ini boleh memudaratkan pengguna.

Minyak organik adalah agak mahal, jadi mungkin tidak ramai yang mampu membelinya, kata beliau.

“Saya nasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan minyak masak yang dikitar semula kerana kita tidak tahu apa yang dicampurkan ke dalam minyak itu semasa mengitar semula.

“Kalau anda mampu untuk membeli suplemen bagi menambah kandungan asid lemak Omega 3, Omega 6 dan Omega 9, baguslah kerana asid lemak ini baik untuk kesihatan jantung anda,” kata Dr. Omar. – BERNAMA -

Sumber: Utusan Malaysia Online


You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
= 3 + 7

Powered by WordPress | Designed by: Premium Themes | Thanks to Compare Premium WordPress Themes, WordPress Themes Free Online and Free WordPress Themes